PETALING JAYA – “Tak perlu kami cerita panjang kisah rumah ni. Semoga tak berulang lagi masa akan datang dan berjaya dapat penyewa dari syurga pula lepas ni.”
Itu harapan seorang ejen rumah lelong, Adlan Hafiz yang terpaksa berdepan dengan kerenah penyewa rumah salah seorang pelanggannya yang pengotor.
Katanya menerusi perkongsian di media sosial, disebabkan pengadu itu merupakan pelanggan tetap, Adlan memutuskan untuk membantu sekadar termampu.
“Dah lama dia beli rumah ni dengan kami, semua urusan pembelian dah selesai. Macam ni rupanya keadaan rumah bila dapat penyewa bermasalah ya.
“Lepas bincang, kita putuskan datang rumah ni untuk pecah masuk dan halau terus penyewa tu. Alhamdulillah, rancangan berjalan lancar,” katanya yang turut berkongsi beberapa gambar memaparkan keadaan terkini rumah berkenaan di media sosial.
Tambah Adlan, pihaknya sudah banyak ‘berlembut’ sebelum ini dan sudah tiba masanya untuk bertindak lebih tegas.
“Kami datang tak cakap banyak, terus suruh penyewa ni pindah keluar. Kami tak nak dengar dah kisah-kisah sedih atau drama air mata. Kami dah banyak berlembut sebelum ni, sekarang masa untuk kita jadi singa garang.
“Semoga penyewa ini juga boleh perbaiki hidup dan jadi manusia baik serta berguna. Biar gambar bercerita dengan sendirinya situasi dan kisah rumah ni. Simpan untuk jadi kenangan dan pengalaman hidup,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE