SEREMBAN – Seorang bekas pengarah syarikat pemborong dan peruncit didenda RM450,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pindaan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki minyak masak melebihi had dibenarkan.
Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Azizul Abdul Halim, 56, selepas bapa 10 anak tersebut kekal dengan pengakuan bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya.
Pada 11 Disember lalu, Azizul mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan bersama anak bekas menteri yang juga pengarah syarikat sama, Muhammad Faisal Hamzah, 39. Muhammad Faisal bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Azizul selaku Pengarah Rimba Merpati Sdn. Bhd. yang juga pemegang lesen borong minyak masak memberikan maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Maklumat itu diberi semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan mengemukakan dokumen atau maklumat yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu invois penjualan minyak masak kepada Pasar Segar Din Maju dan Warisan Hasil Alam. – KOSMO! ONLINE