KUALA LUMPUR – Agak lama tidak terkena serangan panik, penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir lega apabila masalah kemurungan yang dialami sejak Mac tahun lalu semakin menunjukkan tanda positif.
Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 40, berkata sudah empat bulan dirinya bebas daripada gangguan kebimbangan melampau namun dia masih belum pulih sepenuhnya.
“Alhamdulillah, keadaan saya bertambah baik. Selepas lakukan banyak perubahan seperti menurunkan berat badan, potong rambut dan lebih fokus kepada kerja, emosi pun semakin stabil. Ada juga masa-masa saya tertanya kenapa diri tidak bagus, tak cantik, tak cukup bernilai.
“Saya sudah lama tidak alami serangan panik. Sebelum ini, bangun pagi tiba-tiba menangis, tak mahu pergi kerja dan terasa seperti tidak bernilai. Serangan itu berlaku tanpa sebab, tetapi kini semuanya terkawal,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelantun lagu Cinta Datang Lagi itu turut meluahkan rasa syukur apabila keterbukaannya bercerita mengenai masalah kemurungan mendapat maklum balas positif, termasuk sokongan daripada rakan artis.
“Paling menggembirakan apabila ramai teman seperjuangan termasuk yang tidak rapat, menghantar mesej tawarkan diri untuk mendengar luahan saya.
“Ada juga yang puji keberanian saya mengakui masalah ini. Ramai yang ingin bersuara tetapi mungkin takut untuk berbuat demikian,” ujarnya.
Tambah finalis Malaysian Idol itu, dia kini semakin aktif melakukan pelbagai aktiviti fizikal yang banyak membantu memperbaiki emosi serta penampilannya.
“Saya sudah mula menyelam dan mendapat lesen selam. Kali terakhir saya menyelam adalah pada November di Krabi, Thailand. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan bahkan turut menyumbang kepada penurunan berat badan.
“Saya juga mula bermain badminton dan aktiviti lain yang sebelum ini tidak mampu dilakukan. Perlahan-lahan, saya belajar menghargai kawan yang setia berada di sisi sepanjang tempoh sukar,” jelasnya.
Sebelum ini, Dina mendedahkan didiagnosis mengalami kemurungan ringan dan memerlukan rawatan pakar terapi pada Mei tahun lalu. – KOSMO! ONLINE