SEBERANG PERAI – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas 169,440 kilogram (kg) baja pelbagai jenis bernilai RM508,470 dalam serbuan di sebuah kilang pemprosesan baja di Permatang Saga, Pinang Tunggal, di sini hari ini.
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, serbuan dijalankan dengan kekuatan 15 anggota selepas risikan dan pemerhatian dijalankan selama seminggu.
“Hasil serbuan, didapati kilang ini beroperasi tanpa permit dan terdapat pelbagai peralatan serta kelengkapan bagi aktiviti pembungkusan dan pengedaran baja tanpa lesen.
“Seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut dan seterusnya kita memohon bantuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Seberang Perai Utara (SPU) untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah KPDN negeri, S. Jegan.
Hasil rampasan melibatkan pelbagai jenis baja termasuk 231 unit Baja Jumbo seberat 700kg, 60 beg baja sebatian, 91 beg baja sebatian NPK dan pelbagai mesin antaranya mesin pengisar, pengadun dan pemampat dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM541,222.
Sementara itu, Jegan berkata, pihaknya menerima serahan kes daripada pasukan Cawangan Risik Briged Utara dan berjaya melaksanakan operasi penguatkuasaan berhubung aktiviti penjualan baja secara borong tanpa lesen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, tindakan penyitaan juga dilakukan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE