KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan membiarkan negara dijadikan lokasi operasi sindiket pengemis terutama yang mengeksploitasi kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan kementerian berkaitan bagi mencegah kegiatan itu.
“Kita tidak mahu Malaysia digunakan sebagai tempat untuk sindiket pengemis seperti ini.
“Kami di pihak kementerian akan bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan langkah pencegahan dan penguatkuasaan dilakukan secara efektif,” katanya ketika ditemui selepas Program Bicara Eksekutif Siri 1/2025 “Cabaran Menuju Ke Puncak Kepimpinan” di sini hari ini.
Nancy berkata, masyarakat turut diseru memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti seperti itu.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya sindiket seumpamanya itu tidak berani menjadikan negara kita sebagai pusat operasi mereka,” katanya.
Katanya, ketika ini imej negara perlu dijaga sebagai tuan rumah Kepengerusian Malaysia pada Mesyuarat ASEAN 2025.
“Sebagai tuan rumah mesyuarat ASEAN, kita perlu menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang bersih, selamat, dan teratur,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kejayaan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengemis dipercayai didalangi warga Yaman, minggu lalu.
Difahamkan, kegiatan itu mampu mengaut keuntungan sehingga RM3,000 sehari dengan mempergunakan kanak-kanak sebagai alat eksploitasi.- KOSMO! ONLINE