fbpx

Pengasuh abai Muhammad Arasy Lufti hingga mati tiada lesen taska

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan Muhammad Arasy Lutfi bersama ibu bapanya.

JOHOR BAHRU – Siasatan ke atas pengasuh yang didakwa mengabaikan Muhammad Arasy Lufti Samsul Bakti, 11 bulan, ketika dalam jagaannya sehingga meninggal dunia mendapati wanita berkenaan menjalankan perkhidmatan taska tanpa kebenaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairun-Nisa Ismail berkata, pengasuh yang berusia 30-an itu juga didapati tidak pernah mendaftarkan premis kediamannya di bawah Seksyen 7 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

“Saya mengambil maklum dan sangat berdukacita atas kes kanak-kanak meninggal di bawah jagaan pengasuh di rumah di Daerah Muar pada 30 Oktober 2024 seperti yang dilaporkan dalam akhbar Kosmo! pada 17 Januari dan medium Kosmo! Digital pada 18 Januari lalu.

“Pada 17 Disember 2024, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor melalui Pejabat
Kebajikan Masyarakat Daerah Muar telah menjalankan siasatan ke atas aduan Talian
Kasih dan aduan melalui panggilan telefon daripada pengadu (bapa kanak-kanak)
berkaitan kes kematian seorang kanak-kanak pada 30 Oktober 2024.

“Hasil siasatan mendapati bayi berusia 11 bulan tersebut telah dijaga pengasuh di rumah sejak berusia tiga bulan,” katanya kepada Kosmo! melalu satu kenyataan di sini.

Khairun-Nisa berkata, selain tiada lesen dan daftar rumah untuk menjalankan perkhidmatan taska, pengaduh juga didapati tidak pernah menghadiri Kursus Asuhan
dan Didikan Awal Kanak-Kanak Pernata (KAP).

Katanya, susulan itu, surat larangan beroperasi taska telah dikeluarkan dan berkuat kuasa serta-merta.

Tambahnya, hasil lawatan mengejut yang
dilakukan oleh pihak JKM pada 7 Januari 2025 mendapati pengasuh tidak lagi
menjalankan operasi tadka di premis tersebut.

“JKM Negeri Johor meminta semua ibu bapa disarankan agar sentiasa cakna dalam memastikan anak-anak mereka dihantar ke taska berdaftar di bawah JKM bagi mengelakkan berlakunya kes seperti kecuaian, pengabaian dan penderaan berlaku.

“Ibu bapa atau penjaga boleh memperoleh
senarai taska berdaftar melalui semakan di laman sesawangan JKM di www.jkm.gov.my.

“Sekiranya orang ramai mendapati terdapat mana-mana premis yang beroperasi sebagai taska tidak berdaftar diseru untuk membuat aduan kepada Talian Kasih di 15999 atau nombor Whatsapp 019-2615999 atau menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran,” katanya.

Terdahulu pada 17 Januari lalu, Kosmo! melaporkan kematian seorang bayi lelaki, Muhammad Arasy Lutfi , 11, pada Oktober tahun lalu ketika berada dalam jagaan pengasuh di Muar masih meninggalkan tanda tanya kepada ibu bapa mangsa yang
sehingga kini belum mengetahui punca sebenar kejadian tersebut.

Bapa mangsa, Syamsul Bakti Shor Kawi, 33,
berkata, dia dan isteri Nurul Hidayah Sharbani, 32, telah reda dengan apa yang berlaku, namun tetap mahukan keadilan buat cahaya mata mereka.

Syamsul berkata, dia telah membuat laporan berhubung kematian anaknya di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Muar pada hari kejadian.

“Selepas lebih dua bulan berlalu, kami sekeluarga masih menanti penuh sabar laporan bedah siasat daripada pihak hospital untuk mengetahui punca sebenar kematian anak kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI