KUALA LUMPUR – Aktivis Iswardy Morni yang didapati bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial Facebook miliknya yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong didenda RM5,000.
Hakim Mahkamah Sesyen Datuk M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Iswardy, 48, selepas selesai mendengar hujahan mitigasi daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum menjatuhkan hukuman.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama enam bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Iswardy didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (ketika itu) di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pukul 3 petang pada 29 Mei 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah telah menetapkan hari ini bagi jatuh hukum selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Terdahulu mahkamah sama memerintahkan Iswardy membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Sebanyak sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 3 Januari 2022.
Pada 1 Jun 2021, tertuduh mengaku tidak bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan mohon dibicarakan. – KOSMO! ONLINE