PETALING JAYA – Sebuah kisah menyentuh hati dikongsi oleh seorang pemandu Grab selepas menerima tempahan daripada seorang warga emas untuk perjalanan yang sangat dekat.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di TikTok oleh CEO Freedom, kelihatan warga emas tersebut berjalan perlahan dengan tongkat, tubuhnya kelihatan terketar-ketar.
Warga emas itu memesan Grab hanya untuk melintas jalan, perjalanan singkat dari Gurney Paragon, George Town, yang hanya mengambil masa kira-kira seminit.
“Dalam hati sebelum sampai, rumah seberang jalan pun nak pesan Grab ke? Bila sudah sampai, baru tahu,” tulis pemandu Grab tersebut dalam hantaran TikToknya.
Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan empati terhadap warga emas itu. Ada juga yang berkongsi pengalaman mereka pernah berjumpa dengan beliau di tempat lain.
“Eh pak cik ni ada lagi. Empat tahun lepas saya kerja di sana dan tunggu pak cik ini naik lif. Kagum betul, kuat semangat dia pergi seorang diri,” kata N.K Ease.
“Pak cik ini masih keluar jalan-jalan seorang diri. Ayah saya pun jalan macam pak cik ini. Selalu jatuh. Dah tak keluar seorang dah,” ujar Saliey.
“Mak saya sakit macam ni lah. Jalan jadi perlahan. Gigih tiap kali nak pergi tandas tapi bila suruh pakai ‘pampers’ tak nak. Anda semua doakan lah mak saya dengan pak cik ini cepat sembuh dan boleh berjalan macam biasa balik,” tambah Milo Dinosaur. -KOSMO! ONLINE