JOHOR BAHRU – Kegiatan satu sindiket yang rancak menjalankan dua perniagaan haram membabitkan pengedaran dadah dan pemalsuan dokumen akhirnya tumpas selepas dua ahlinya ditahan polis pada 13 dan 14 Januari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan yang berusia 30 dan 33 tahun itu ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini.
Menurut beliau, dadah dirampas bernilai RM3.68 juta, manakala dokumen palsu dirampas melibatkan kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, geran kenderaan serta wang tunai.
“Sindiket ini dipercayai telah bergiat aktif sejak Disember lalu dengan menjadikan dua kediaman sebagai stor dan pusat pembungkusan dadah serta tempat pemalsuan dokumen.
“Antara dirampas termasuklah 21,811 gram serbuk ekstasi, 1.40 gram syabu dan 40.28 liter cecair dadah bernilai RM3.68 juta.
“Manakala turut dirampas 13 keping kad pengenalan dan lesen memandu palsu, 10 keeping kad bank palsu, satu geran palsu serta 18 keping wang tunai palsu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Kumar, pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine, dengan kedua-dua mereka turut mempunyai rekod kesalahan lampau. – KOSMO! ONLINE