fbpx

[VIDEO] Hantar ke sekolah formal syarat serah semula anak GISBH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada ibu bapa yang hadir bagi menunggu proses prosiding IPO anak-anak GISBH hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Wajib menghantar anak ke sistem pendidikan formal persekolahan antara syarat yang dikenakan terhadap ibu bapa yang terkait dengan GISB Holdings (GISBH) bagi sesi penyerahan anak-anak mereka hari ini.

Perkara itu didedahkan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari dengan sistem persekolahan tersebut adalah sama ada aliran perdana ataupun sekolah swasta.

Katanya, syarat tersebut bagi mematuhi Perlembagaan Persekutuan bahawa kanak-kanak yang lahir di negara ini wajib melalui sesi persekolahan.

“Hari ini 41 kes yang disebutkan di hadapan Majistret dan di dalam kamar tadi terdapat sekitar empat kes yang berjalan.

“Bagi kesemua itu, mahkamah bersetuju untuk ibu bapa mengambil semula anak-anak yang dalam jagaan JKM dengan bon tanpa cagaran RM500.

“Maknanya, jika mereka mematuhi sembilan syarat yang dinyatakan (akan dibenarkan proses penyerahan anak-anak GISBH itu. Sekiranya dilanggar, barulah mereka perlu bayar RM500 dan tindakan selanjutnya oleh mahkamah sekiranya tidak mematuhinya,” katanya ketika ditemui di lobi Mahkamah Kanak-Kanak Shah Alam hari ini.

Terdahulu beliau meninjau proses prosiding sebutan semula perintah lanjutan hak jagaan sementara (IPO) anak-anak GISBH yang bersidang di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah, Wong Chai Sia.

Ini melibatkan 41 kanak-kanak berusia lima hingga 16 tahun yang sebelum ini diselamatkan dalam Op Global di sekitar Selangir yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setakat pukul 11.50 pagi tadi, seramai sembilan kanak-kanak telah dibenarkan dibawa pulang dengan melibatkan tujuh buah keluarga. Terdapat 26 buah keluarga keseluruhan hari ini.

Difahamkan, prosiding bagi satu kes mengambil masa selama 20 hingga 30 minit bergantung kepada kerumitan kes.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata, prosiding IPO itu akan berlangsung sehingga esok dengan melibatkan lebih 40 kanak-kanak lagi.

“Selepas daripada dua hari baru diketahui berapa jumlah kanak-kanak yang dibenarkan pulang kepada ibu bapa dengan bon tanpa cagaran tersebut.

“Bon tersebut (diberikan) berdasarkan pemantauan terhadap kanak-kanak, laporan daripada pelindung, penasihat dan juga majistret,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI