KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengambil tindakan kes dan menyita sebanyak 205 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) dari sebuah premis perniagaan lesen runcit barang kawalan di Taman Sri Rampai, di sini, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1 tengah hari, sebanyak 85 tong berisi LPG kapasiti 12 kilogram (kg) dan 120 tong berisi LPG kapasiti 14 kg yang dianggarkan bernilai RM23,930.
KPDN berkata, serbuan dijalankan adalah susulan daripada maklumat risikan dan serahan kes daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas pengoperasian perniagaan yang mencurigakan di premis perniagaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan serta semakan dengan maklumat pengisytiharan stok barang kawalan yang diarahkan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDN, premis perniagaan ini didapati memiliki dalam simpanan sebanyak 2700 kg lebihan had simpanan LPG yang dibenarkan dalam lesen runcit barang kawalan yang masih sah sehingga 25 Oktober ini.
“Lebihan had simpanan LPG yang dianggarkan bernilai RM23,930 ini telah disita oleh pasukan penguat kuasa KPDN dan akan disiasat di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, semakan rekod kesalahan lampau juga mendapati pemegang lesen runcit ini mempunyai beberapa rekod kesalahan lain di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 semenjak tahun 2018.
“Penelitian terperinci akan dibuat ke atas semua rekod kesalahan oleh pemegang lesen runcit barang kawalan ini, manakala pengesyoran sewajarnya akan dibuat kepada Pengawal Bekalan serta siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” jelasnya.
Dalam pada itu, KPDN berkata, PDRM merupakan salah satu rakan strategik agensi penguatkuasaan dalam Task Force OPS TIRIS 3.0 semenjak dari tahun 2023 sehingga kini dalam menangani isu-isu ketirisan barang kawalan dalam membendung modus operasi sindiket penyelewengan barang kawalan.
Selain itu, tindakan kes ini juga adalah di bawah operasi bersepadu agensi penguatkuasaan di bawah inisiatif kerajaan melalui KPDN iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) yang telah diumumkan pada 19 Oktober 2024 oleh Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali.
“Sebarang aduan atau maklumat dalam ketirisan barang kawalan boleh dikemukakan kepada pihak Kementerian melalui portal e-aduan.kpdn (https://eaduan.kpdn.gov.my); call Centre 1-800-886-800; emel [email protected]; Ez ADU KPDN (aplikasi telefon pintar) dan WhatsApp 019-8488000,” tambah KPDN. – KOSMO! ONLINE