KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia serta dua beregu lelaki utama, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran (BAMTC) bulan depan.
Selain pemain-pemain tersebut, turut tidak berada dalam skuad negara ke kejohanan di Qingdao, China itu adalah beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Menerusi senarai nama yang diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini, acara perseorangan lelaki dibaris Leong Jun Hao dan Justin Hoh manakala Man Wei Chong-Tee Kain Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King menggalas cabaran dalam beregu lelaki.
Sementara itu, perseorangan wanita bakal menyaksikan K. Letshanaa dan Wong Ling Ching akan menjadi pertaruhan sementara cabaran beregu wanita digalas Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui.
Gandingan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai pula menjadi pertaruhan skuad negara dalam acara beregu campuran bersama beregu kebangsaan, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Pada edisi kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan dengan juara serta naib juara kumpulan akan melangkah ke suku akhir.
Sebagai rekod, empat pasukan yang melangkah ke separuh akhir pada kejohanan itu akan melayakkan diri secara automatik ke Piala Sudirman di Xiamen, China pada 27 April hingga 4 Mei depan. – KOSMO! ONLINE