NAIROBI – Seorang lelaki ditahan di Kenya kerana membawa beg galas berisi mayat yang telah dikerat-kerat, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.
Direktorat Siasatan Jenayah (CDI) berkata, mayat itu adalah isterinya yang berumur 19 tahun.
Suspek bernama John Kiama Wambua, 29, ditangkap ketika polis membuat rondaan di kejiranan Huruma, timur Nairobi, baru-baru ini.
“Polis mengesyaki suspek membawa ‘sesuatu’ yang menyalahi undang-undang menyebabkan bag galasnya digeledah.
“Mereka terkejut menemui cebisan mayat manusia. Suspek kelihatan tidak terganggu dengan penemuan tersebut,” kata CDI.
Selepas dibawa ke rumah suspek, anggota-anggota polis menemui sebilah pisau, pakaian berlumuran darah serta bahagian anggota badan lain milik mangsa di bawah katil.
CDI menyifatkan pembunuhan itu sebagai keji, sambil menambah, suspek akan didakwa atas tuduhan membunuh di mahkamah. – AGENSI