fbpx

‘Memang kejam, sebab telefon dua nyawa terkorban’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zaini menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Muslim yang dipercayai rentung dalam kebakaran rumah di Tongkang Yard, hari ini.

ALOR SETAR – Bapa kepada salah seorang mangsa yang dipercayai rentung dalam kebakaran rumah di Tongkang Yard, di sini kelmarin terkejut apabila dimaklumkan kejadian itu adalah kes bunuh.

Mohd. Zaini Hashim, 63, berkata, dia tidak dapat menerima perbuatan kejam suspek yang sanggup membakar rumah sehingga mengorbankan anaknya, Muhammad Muslim, 23, dan bapa angkat anak, Ibrahim Mydin, 61.

“Perbuatan simbah petrol dan bakar itu memang kejam kerana sebab telefon dua nyawa terkorban.

“Daripada segi wang ringgit pula, Ibrahim yang bagi mereka makan, jadi dalam keadaan macam itu, mereka buat kepada penghuni rumah seperti itu, tidak baguslah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, laporan bedah siasat menunjukkan anaknya masih bernafas sebelum terbakar dan ditemukan rentung.

“Memang sedih bila tengok keadaan anak yang rentung kerana sehari sebelum kejadian saya ada bertemu dan berbual sekejap dengannya. Sedih kerana saya jumpa dia dalam keadaan elok, esoknya hanya nampak mayat rentung,” ujarnya.

Jelasnya, dia tidak mengenali lima suspek yang ditahan itu dan hanya dimaklumkan bahawa salah seorang daripada mereka merupakan saudara terdekat kepada Ibrahim.

“Apapun saya serahkan siasatan kepada pihak polis dan undang-undang. Pakcik berdoa supaya jenazah anak dapat dituntut untuk dikebumikan, insya-Allah jika semua selesai, jenazah anak akan dikebumikan di Masjid As-Salam Tambak Bunga, Kuala Kedah.

“Cumanya setakat ini, polis tidak mengesahkan lagi itu anak saya tapi saya pasti ia memang Muslim sebab ada ‘bangle’ (rantai tangan lelaki), rantai dan cincin yang dia memang pakai sehari sebelum itu,” katanya.

Katanya lagi, dia juga dapat mengecam mayat itu anaknya berdasarkan raut wajah mangsa.

“Naluri saya memang kuat mengatakan mayat rentung itu adalah Lim (Muslim),” katanya sambil memberitahu Muslim merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Tambahnya, dia juga telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk membantu pihak polis melengkapkan siasatan.

“Keluarga juga sudah mula buat tahlil untuk arwah. Mudah-mudahan jenazah anak dapat dituntut segera untuk dikebumikan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan siasatan kes kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard yang mengorbankan dua nyawa memasuki episod baharu selepas polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, susulan kejadian pembunuhan kejam itu, pihaknya memberkas lima lelaki berusia 19 hingga 53 tahun.

Katanya, tangkapan pertama melibatkan suspek berusia 29 tahun yang merupakan ahli keluarga terdekat Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI