PETALING JAYA – Polis merampas barangan bernilai RM113.8 juta dalam serbuan terhadap tujuh premis syarikat di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan besi dan logam dari luar negara pada 17 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta tiga lelaki warga asing berusia antara 33 hingga 50 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.
Menurut beliau, operasi tersebut dilakukan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap syarikat yang membekalkan produk besi dan logam untuk sektor pembinaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan dikesan termasuk kegagalan mengemukakan dokumen perakuan pematuhan standard (PPS) yang sah bagi produk besi dan logam yang diimport untuk kegunaan sektor pembinaan.
“Sejumlah produk logam dikategorikan sebagai produk akhir tanpa perakuan pematuhan standard (PPS) yang sah oleh CIDB untuk kegunaan sektor pembinaan di dalam negara.
“Terdapat juga produk besi dan logam yang dikategorikan sebagai produk separuh siap yang dipercayai diimport secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Azmi berkata, antara barangan rampasan termasuk 8,939 tan besi dan keluli industri, 5 kontena, 12 forklift, 40 tong gas silinder dan 61 pelbagai mesin memproses besi serta keluli.
Kata beliau, penggunaan produk logam dan besi tidak mematuhi standard piawaian pihak berkuasa piawaian di Malaysia boleh mengundang risiko terhadap keselamatan awam.
Katanya, kualiti material produk besi dan logam digunakan dalam semua sektor industri domestik perlu diperakukan CIDB atau Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) sebelum digunakan dalam industri.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 33D Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE