IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menumpaskan penjualan produk bina badan mengandungi anabolik steroid selepas serbuan dijalankan ke atas enam premis yang dijadikan stor penyimpanan, semalam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Mohd. Zawawi Abdullah berkata, selain anabolik steroid, turut dirampas produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan jumlah keseluruhan sebanyak 620 jenis bernilai RM2.06 juta.
“Enam individu berusia 30 hingga 50 tahun dipercayai pemilik premis dan pengarah syarikat telah ditahan. Kebanyakan produk diimport dari luar negara itu berada dalam pasaran tempatan sejak empat tahun lalu sebelum dijual secara dalam talian.
“Sebahagian ubat dirampas terdiri daripada anabolik steroid yang kerap disalah guna untuk membina badan dan ubatan racun lain yang digunakan untuk maksud sama iaitu meningkatkan keberkesanan steroid,” katanya pada sidang media di Bahagian Perkhidmatan Farmasi JKN Perak di Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Mohd. Zawawi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. – KOSMO! ONLINE