fbpx

SPRM tumpas sindiket vape di KLIA, enam penguat kuasa ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara individu ditahan SPRM dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah reman hari ini.

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dalam kalangan penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan vape (rokok elektronik) di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Operasi dinamakan Op Airways itu adalah hasil intipan Bahagian Perisikan SPRM selama tiga bulan.

Enam pegawai kastam dan lapan orang awam, termasuk enam pengarah syarikat ditahan dalam operasi yang dijalankan sekitar KLIA dan ibu negara petang semalam.

Menurut sumber, SPRM telah menahan dua lori yang keluar dari pusat pemeriksaan kargo KLIA dan serentak itu serbuan secara besar-besaran tdilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat tersebut.

“Hasil pemeriksaan bersama Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menemui 32,000 vape yang dianggarkan cukai bernilai RM1.9 juta di dalam lori yang ditahan.

“Sementara itu, hasil serbuan di salah sebuah gudang telah menemui sebanyak 90,000 unit vape yang dianggarkan cukai bernilai RM5.4 juta yang tidak dibayar pada kastam,” katanya hari ini.

Sumber berkata, di sebuah gudang lagi, SPRM turut menemui berpuluh ribu unit vape yang melibatkan jutaan ringgit yang tidak dibayar cukai pada kastam.

“Setakat ini, hasil serbuan mendapati negara kehilangaan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta, di mana kandungannya juga dikhuatiri membahayakan kesihatan pengguna,” katanya.

Tambah sumber, hasil intipan yang dijalankan kesemua vape yang diseludup langsung tidak diikrarkan dan tiada sebarang dokumen dicatatkan.

“Ini menyerupai modus operandi kontena terbang dan pegawai-pegawai penguat kuasa yang bertugas didapati menerima ribuan ringgit bagi setiap kontena tanpa melalui mesin imbasan atau sebarang pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, kesemua enam pegawai kastam, empat pengarah syarikat dan dua individu yang ditahan telah direman selama empat hari sehingga 25 Januari ini.

Manakala seorang lagi pengarah syarikat telah direman selama lima hari sehingga 26 Januari dan seorang lagi pengarah syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Perintah reman telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 60-an telah ditahan antara pukul 8 malam semalam hingga 1 pagi tadi di sekitar Lembah Klang dan juga Putrajaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI