HULU SELANGOR – Dua lelaki ditahan selepas dipercayai cuba melarikan 26 pek minuman bernilai lebih RM600 dari sebuah kedai serbaneka di Hulu Bernam, di sini petang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, pihaknya mengesan sebuah video tular berkenaan kes kecurian itu di media sosial.
Katanya, pengurus premis itu membuat laporan polis dan siasatan mendapati dua suspek cuba melarikan barangan milik kedai serbaneka itu tanpa membuat bayaran pukul 5.20 petang kelmarin.
“Suspek ditahan pekerja kedai bersama barangan curi iaitu 14 bungkus Nescafe 300 gram serta 12 bungkus Milo 1 kilogram berharga RM 631.48,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an diserahkan kepada polis. Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Mereka direman selama tiga hari bermula sehingga 23 Januari ini.
Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Kuala Kubu Bharu esok di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE