KOTA BHARU – Seorang wanita peniaga kedai emas mengalami kerugian sebanyak RM49,600 selepas diperdaya lelaki yang menyamar sebagai pembeli selepas berurusan dengan suspek melalui panggilan telefon dalam kejadian pada Ahad lalu.
Selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa yang berusia 20 tahun segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu keesokan harinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, berdasarkan keterangan, seorang lelaki telah menghubungi mangsa kononnya ingin membeli barang kemas bernilai RM49,600 dari kedai tanpa mahu melihat barangan itu terlebih dahulu.
Menurutnya, bagi membuat pembayaran, suspek meminta nombor akaun bank kedai emas itu dan selepas membuat semakan, mangsa mendapati wang RM49,600 telah dimasukkan suspek pada Ahad lalu.
“Pada keesokan harinya, ketika mangsa berada di kedai emas, seorang wanita datang mendakwa mewakili suspek untuk mengambil barang kemas yang telah dibeli.
“Mangsa menyerahkan barangan kemas itu kepada suspek wanita tersebut seutas rantai leher, beberapa utas rantai tangan dan beberapa kepingan emas yang bernilai RM49,600,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Ahmad Azizul, bagaimanapun mangsa telah dihubungi oleh pihak polis di Johor pada hari yang sama bagi membantu siasatan melibatkan wang RM49,600 yang telah dimasukkan oleh seorang mangsa jenayah penipuan di negeri itu ke akaun bank milik mangsa.
Ujarnya, susulan daripada itu, mangsa segera membuat laporan polis menafikan penglibatannya dengan kes penipuan di Johor selain turut merasakan telah ditipu dalam urusan jual beli emas tersebut.
“Siasatan awal mendapati, seorang mangsa di Johor berminat dengan iklan jualan sebuah kenderaan di dalam media sosial lalu menghubungi penjual iaitu suspek pada Sabtu lalu.
“Dia telah membuat dua transaksi bayaran iaitu RM2,400 pada hari tersebut ke satu akaun bank milik individu sebagai wang tempahan dan seterusnya RM49,600 lagi pada hari berikut ke akaun bank milik kedai emas di Kelantan.
“Mangsa di Johor juga telah membuat laporan polis kelmarin setelah mengesyaki telah ditipu apabila suspek penjual tidak lagi dapat dihubungi dan kenderaan yang dibeli tidak diterimanya,” katanya.
Tambah Ahmad Azizul, siasatan polis mendapati nombor talian yang digunakan suspek juga pernah terlibat dengan satu kes penipuan e-dagang melibatkan jual beli kenderaan yang tidak wujud di Pahang pada Disember tahun lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -K! ONLINE