BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyambut baik tawaran daripada Jawatankuasa Road to Gold (RTG) untuk menyertai program berkenaan sebagai persiapan menuju ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Sze Fei berkata, dia dan gandingannya, Nur Izzuddin sedia mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bagi memahami lebih lanjut bentuk sokongan yang akan diberikan kepada mereka.
“RTG adalah satu program yang sangat baik untuk atlet. Kami terbuka untuk berbincang dengan menteri bagi mengetahui apa jenis bantuan kami akan dapat,” katanya.
Pasangan ranking No. 2 itu menjadi calon utama RTG selepas mempamerkan prestasi luar biasa dalam beberapa kejohanan utama, termasuk merangkul kejuaraan Terbuka India di New Delhi Ahad lalu.
Peningkatan prestasi itu membolehkan Jawatankuasa RTG menawarkan tempat untuk mereka berada dalam program berkenaan terutama dalam misi memburu emas pertama negara di Olimpik LA28.
RTG yang diperkenalkan pada Mac 2023, telah memberikan pelbagai bantuan kepada atlet yang terpilih, termasuk pembiayaan untuk peralatan, latihan, dan pertandingan antarabangsa, selain elaun bulanan sebanyak RM3,000.
Selain itu, atlet juga mendapat sokongan sains sukan seperti jurulatih kecergasan fizikal, ahli fisioterapi, pakar pemakanan, dan jurulatih analisis prestasi.
Sementara itu, Hannah turut mengesahkan bahawa pihaknya akan bertemu Sze Fei-Izzuddin bagi membincangkan keperluan mereka.
“RTG akan terus memberikan bantuan kepada atlet yang menunjukkan potensi besar dan kami sedia mendengar keperluan mereka bagi memastikan persiapan ke Olimpik berjalan lancar,” katanya.
Sebagai rekod, Sze Fei-Izzuddin kini berada di kemuncak prestasi selepas meraih empat kejuaraan dalam tempoh lima bulan, termasuk Terbuka Jepun, Terbuka China, Terbuka Artik dan kejayaan terkini di Terbuka India.