PETALING JAYA – Seramai lapan warga asing diselamatkan polis disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia selain dipaksa bekerja sebagai buruh ladang di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan.
Dalam serbuan itu, Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D3, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut menahan 25 individu pelbagai warganegara atas pelbagai kesalahan.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi memfokuskan usaha menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI).
“Hasil serbuan pukul 12.30 tengah hari itu, seramai lapan lelaki Bangladesh berusia 27 hingga 47 tahun diselamatkan.
“Mereka diperdaya dan dipaksa bekerja sebagai buruh ladang tanpa gaji selama empat bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tiga lelaki tempatan berusia 32 dan 35 tahun dipercayai pemilik dan pembantu ladang turut ditahan mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen.
“Dalam serbuan sama, 19 lagi warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk bekerja secara haram,” katanya.
Mereka terdiri daripada 10 lelaki Bangladesh, Myanmar (lima), Sri Lanka (tiga) dan seorang lelaki Indonesia. Ladang sayur berkeluasan 200 hektar itu diusahakan untuk tanaman kubis, bawang dan tomato.
“Keadaan muka bumi berbukit menyukarkan operasi, namun pasukan berjaya melaksanakan tugas dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE