KUALA Lumpur City FC (KL city) tiada sebarang alasan untuk tidak memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri melayan kunjungan Cong An Ha Noi FC pada aksi Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini.
Pengendali The City Boys, Miroslav Kuljanac mahu anak-anak buahnya mengetepikan status lawan yang kini sedang mendahului carta Kumpulan B bagi meringankan tekanan mereka.
“Kami menentang pasukan yang bagus tetapi ini adalah peluang terakhir kami ke separuh akhir dan pemain sudah bersedia untuk tunjukkan kualiti. Tiada masa merungut, sekarang kami mahu berjuang untuk diri sendiri, kelab dan maruah.
“Kami bermain di tempat sendiri dan saya tahu pemain tidak akan mengalah walaupun perlawanan kali ini agak sukar. Mengenali pemain, saya tahu segalanya mungkin dan bagi saya bola sepak tidak boleh dijangka,” katanya.
Ketika ini, KL City berada di tangga ketiga Kumpulan B, berkongsi enam mata dengan gergasi Thailand, Buriram United, manakala Cong An Ha Noi unggul di puncak menerusi sembilan mata.
Melihat semula kepada kejayaan di Piala Malaysia dan Piala AFC sebelum ini, pemain tengah KL City, Kenny Pallraj merasakan pengalaman adalah aset penting dan mereka tahu apa perlu dilakukan untuk mengekalkan reputasi pasukan yang digelar sebagai ‘pakar pertandingan piala’.
“Sebelum ini KL City selalu ada masalah tetapi apabila masuk dalam padang, kita berikan terbaik hingga dapat keputusan baik. KL City bukannya dibarisi pemain muda, semua ada pengalaman dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.