PENGALAMAN luas di rantau Asia Tenggara yang dimiliki Alexandre Polking memberikan kelebihan buat Cong An Ha Noi FC untuk menghadirkan kekecewaan buat Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini.
Selain pernah bertugas di peringkat kelab, jurulatih dari Brazil itu cukup dikenali di kalangan peminat bola sepak negara khususnya semasa berkhidmat dengan skuad kebangsaan Thailand dan pastinya begitu mengenali kualiti yang ada pada pemain Malaysia.
“Kami berdepan kelewatan penerbangan, namun kami hadir dengan skuad penuh. Itu bukan masalah utama dan latihan akhir hari ini (semalam) untuk sesuaikan diri dengan padang.
“Saya sudah lama berada di sini (rantau Asia Tenggara) dan saya kenal ramai pemain termasuk KL City yang turut dibarisi pemain kebangsaan Malaysia.
“Kami tahu apa mereka boleh lakukan, namun fokus kepada apa yang kami mahu lakukan. Kami berharap dapat manfaatkan kesempatan ini untuk mara ke separuh akhir,” katanya.
Walaupun menyedari apa yang bakal dihadapi anak-anak buahnya, namun Polking sentiasa bercita-cita besar untuk melunaskan dua misi berbeza iaitu mengekalkan rekod kemenangan bersih dan memburu slot ke separuh akhir.
“KL City pasukan bagus, memiliki pemain berkualiti dan mereka juga sudah biasa dengan padang di gelanggang mereka. Tetapi saya kekal yakin dengan pemain saya dan berharap mampu mencari pelan terbaik untuk harungi perlawanan kali ini.
“Bagi saya, KL City lebih tertekan karena mereka tahu mereka perlu menang untuk mara. Perlawanan pasti sukar, namun sasaran kami cukup jelas iaitu mendapatkan mata,” katanya.