PETALING JAYA – Menafikan dirinya hamil, penyanyi Zehra Zambri sebaliknya meminta khalayak tidak lagi mempersoalkan keadaaan fizikalnya yang agak berisi akibat sukar menurunkan berat badan selepas bersalin dua tahun lalu.
Akui Zehra, 38, tekanan kerja dan kesibukan menguruskan anak kecil juga menyumbang kepada hasratnya untuk kembali memiliki berat badan ideal, tambahan pula dia melahirkan anak secara pembedahan.
“Adakah saya hamil? Jawapan empunya diri adalah tidak!
“Jadi, cukuplah mempersoalkan tentang itu, saya akui masih belum dapat berat badan ideal selepas melahirkan anak secara ’emergency czer’ pada 21 Oktober 2022.
“Saya mengalami kenaikan berat badan mendadak dan tidak menjaga kesihatan diri akibat tekanan kerja serta dalam masa sama sibuk menguruskan bayi saya sendiri,” katanya dalam hantaran Instagram.
Pelantun lagu Semalakama turut memohon maaf dengan penampilannya di pentas Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) minggu kesembilan yang menampakkan bahagian perut sehingga disangka hamil.
Selepas ini, dia akan lebih berhati-hati dengan pemilihan pemakaian selaku wanita muslimah yang berhijab.
“Saya ingin memohon maaf jika ada yang kurang senang dengan imej dan penampilan saya ketika dendangkan lagu Nour El Shams pada konsert minggu lalu.
“Saya ambil maklum pandangan kalian yang mengkritik stail hijab dan busana saya. Insya-Allah di masa akan datang saya akan lebih cakna serta berhati-hati dalam pemilihan pakaian sebagai wanita berhijab.
“Terima kasih semua atas teguran kerana kasih sayang kalian terhadap diri saya. Moga kita semua sentiasa di bawah rahmatNya.
Minggu lalu, Zehra menyelesaikan tugasan dengan lagu arab berjudul Nour El Shams dan mengenakan pakaian ketat sehingga terlihat bentuk perut seakan-akan sedang hamil.
Dia juga mengenakan tudung menampakkan bahagian leher dan telinga yang membuatkan peminat tidak senang dengan fesyen tersebut. -KOSMO! ONLINE