PETALING JAYA – Penyanyi rock terkemuka tanah air, Datuk Awie tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat produk berasaskan suplemen, AG Nutrition International Sdn. Bhd. kerana menggunakan imejnya yang disunting tanpa kebenaran untuk tujuan promosi.
Kata Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, dia tiada kena-mengena dengan syarikat tersebut baik sebagai duta mahupun pengguna produk.
“Muka saya pada badan orang yang lain sambil memegang dua produk yang dikenali sebagai ‘AG Cera’ daripada satu Syarikat bernama AG Nutrition International Sdn. Bhd.
“Saya dapati gambar tersebut telah banyak disebarkan dalam media sosial oleh pengguna-pengguna Facebook yang saya percaya merupakan ejen syarikat tersebut.
“Gambar dimuat naik bersama kenyataan-kenyataan kononnya saya mengamalkan dan menggunakan produk tersebut. Ada juga yang menyatakan saya menyokong atau terlibat dengan bisnes tersebut,” kata Awie, 52.
Sehubungan itu, pelantun lagu Tragedi Oktober itu menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya secara langsung dengan perniagaan atau produk syarikat tersebut.
“Saya tidak pernah diupah atau dilantik menjadi duta kepada syarikat tersebut bagi memasarkan atau mempromosikan produk. Saya menyatakan saya tidak pernah bergambar bersama produk dan gambar tersebut telah dipalsukan.
“Saya tidak pernah mengamalkan produk syarikat tersebut apatah lagi membeli produknya. Saya juga tidak pernah menyatakan sokongan terhadap produk syarikat tersebut,” katanya lagi.
Dalam sidang akhbar secara maya bersama media sebentar tadi, Awie turut menjelaskan, melalui peguamnya, dia telah menghantar surat saman ganti rugi kepada syarikat berkenaan pada 6 Januari 2021.
Syarikat tersebut telah membalas surat saman berhubung perkara itu pada tarikh 13 Januari namun menafikan sama ada syarikatnya mahupun ejen-ejen bawah kendalian mereka ada mengeksploitasi gambar atau pengaruh Awie untuk tujuan promosi produk.
“Saya beri tempoh tujuh hari selepas surat pertama dihantar (6 Januari) ke syarikat itu bagi mereka menggugurkan atau memadam gambar saya untuk tujuan promosi. Sebenarnya, sudah ‘tamat tempoh’ pun.
“Memandangkan gambar tersebut masih luas disebarkan dalam media sosial, saya
mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap AG Nutrition International Sdn. Bhd,” kata Awie.
Turut hadir pada sidang akhbar maya ialah dua peguam yang mewakilinya berhubung kes tersebut, Adnan Seman dan Azreen Azmi dari Tetuan Adnan Sharida & Associates. – K! ONLINE