LIVERPOOL – Mohamed Salah mencipta satu lagi pencapaian luar biasa apabila muncul pemain Liverpool pertama menjaringkan 50 gol di pentas Eropah.
Bintang dari Mesir itu menyumbangkan satu gol ketika membantu The Reds menang 2-1 ke atas Lille dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Anfield awal pagi semalam.
Pengurus Liverpool, Arne Slot menghamburkan pujian terhadap sumbangan Salah sepanjang perlawanan dan melabel pemain itu sebagai istimewa.
“Istimewa adalah perkataan untuk menggambarkan prestasi Mo (Salah) bersama kelab ini. Terbaik ataupun ada perkataan lain yang lebih baik untuk menjelaskan sumbangannya.
“Aksinya bersama kelab cukup luar biasa sejak beberapa tahun ini dan dia terus melakukan perkara sama. Apabila dia berada dalam situasi satu lawan satu, pasti kami ada peluang baik untuk menjaringkan gol,” kata Slot.
Salah membuka tirai jaringan di babak pertama sebelum tugas Liverpool bertambah mudah apabila Lille kehilangan seorang pemain apabila Aissa Mandi dilayangkan kad merah pada minit ke-59.
Bagaimanapun, Jonathan David kembali menyamakan kedudukan buat Lille pada minit ke-62, namun wakil Perancis itu terpaksa akur dengan kekalahan apabila Harvey Elliott meledak gol kedua Liverpool berselang lima minit kemudian.
Kemenangan itu mengekalkan rekod bersih The Reds dalam saingan UCL musim ini sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.
Liverpool juga dijangka mampu menamatkan aksi peringkat awal saingan liga UCL dengan kemenangan kelapan berturut-turut apabila bertandang ke Belanda menentang PSV Eindhoven untuk aksi terakhir pada 30 Januari ini. – AGENSI