KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan pertumbuhan Perindustrian Kecil Sederhana (PKS) sebanyak lima peratus pada tahun 2027.
Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, perkara itu diyakini dapat dicapai susulan kepengerusian ASEAN pada tahun ini.
“Tahun ini kita mempengurusikan ASEAN dan banyak acara-acara berkaitan dan saya fikir dengan penganjuran pelbagai program serta aktiviti yang berskala besar, itu akan mencetuskan banyak usahawan kecil yang baru.
“Justeru itu, kita perlu menyediakan modal yang diperlukan oleh usahawan-usahawan ini,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Amanat Kuskop Tahun 2025 di sini hari ini.
Katanya, pada tahun ini Kuskop turut menyasarkan pertambahan pembiayaan bagi membantu memudahkan pemain industri mengembangkan lagi perniagaan.
“Bagi tahun 2024 Kuskop mencatatkan peningkatan akses pembiayaan di mana seramai 333,653 usahawan dan koperasi telah mendapat bantuan pembiayaan termasuk pembiayaan mikro-kredit dan geran keusahawanan serta pinjaman mudah melibatkan pembiayaan berjumlah RM9.58 bilion.
“Berbanding pada tahun 2023, sebanyak RM9.53 bilion diperuntukkan. Namun pembiayaan pada tahun ini saya tidak mahu memaklumkan jumlah itu kerana bergantung kepada keperluan pemain industri itu sendiri dan koperasi,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Kuskop menyasarkan tiga objektif melalui Perancangan Strategik Kuskop Tahun 2025 dengan tema “Transformasi Melonjak Prestasi”.
“Bagi merealisasi objektif yang disasarkan, 21 strategi, lima pemboleh daya dan 196 program atau aktiviti termasuk 20 program perdana serta enam KPI telah dirangka di bawah perancangan ini.
“Ia merangkumi aspek penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Katanya, pelaksanaan kesemua program dan projek yang dirancang akan memanfaatkan 508,498 usahawan dan bakal usahawan serta koperasi. – KOSMO! ONLINE