JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk seorang wanita didakwa di dua Mahkamah Majistret secara berasingan di sini hari ini kerana membunuh dan bersubahat membunuh seorang wanita di Skudai, pada 1 Disember tahun lalu.
Tertuduh, Soo Siau Soon, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Siau Soon didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang wanita tempatan berusia 43 tahun di depan sebuah kuil di Batu 8 1/2, Skudai di sini, pada pukul 12.50 tengah malam, 1 Disember lalu.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Heng Tang Lee, 48, dan C. Susila, 45, pula didakwa bersubahat menyebabkan kematian mangsa di tempat dan waktu yang sama.
Pengakuan kedua-dua mereka tidak direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A. Shaarmini.
Sementara itu, Tang Lee turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu membuang sebelah bilah gunting ke dalam paya dan memiliki pistol tanpa lesen sah di kawasan paya, Taman Tampoi Utama, di sini pada pukul 3.40 petang, 15 Januari lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 19 Mac depan bagi sebutan semula kes serta lantikan peguam oleh tertuduh.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE