PUTRAJAYA – Mana-mana perhimpunan yang hendak dianjurkan perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik tapak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah ditetapkan oleh undang-undang sedia ada termasuk permit berhimpun dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, sebagai contoh, beberapa himpunan yang diadakan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, termasuklah di Padang Merbok juga memohon kebenaran daripada pemilik tapak premis.
“Kita kena lihat daripada segi ketertiban dan pematuhan undang-undang. Ia ada banyak perkiraan seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebut bahawa semua perkiraan ini diambil sebagai faktor sama ada meluluskan atau tidak.
“Tapi jika seseorang itu atau mana-mana pihak ingin anjurkan perhimpunan waktu ini perlu menyatakan dengan jelas tujuan perhimpunan itu serta perlu mendapat kebenaran daripada pemilik tapak “katanya ketika ditemui di Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan disuarakan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE