ARAU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis berjaya mengutip saman tertunggak berjumlah RM122,000 membabitkan 54 kenderaan dari Thailand sejak Oktober tahun lalu hingga semalam.
Pengarahnya, Noraini Mohd Nawi berkata, kutipan tersebut dilakukan menerusi Ops Tunggak yang bertujuan mengesan dan mengutip tunggakan saman pemandu asing yang memasuki negara ini.
“Sekiranya mereka gagal melunaskan saman, kenderaan akan disita dan tidak dibenarkan keluar sehingga bayaran dibuat.
“Justeru kita turut menyediakan perkhidmatan Mobile JPJ bagi memudahkan mereka membuat pembayaran saman secara terus,” katanya ketika ditemui pada Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 di KM26 Jalan Kuala Perlis-Changlun, di sini semalam.
Ops Tunggak turut dilaksanakan di tiga negeri bersempadan dengan Thailand iaitu Kedah, Perak dan Kelantan. – KOSMO! ONLINE