GEORGE TOWN – Seramai 15 lelaki warga Bangladesh dipercayai terlibat dalam kes merusuh di sebuah tapak projek pembinaan di Bayan Lepas di sini semalam ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 20 hingga 50-an itu dikeluarkan Majistret, Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret Balik Pulau pagi tadi.
Permohonan reman hingga 25 Januari ini dibenarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Difahamkan,kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam berpunca daripada perselisihan faham antara dua penyelia masing masing warga tempatan dan Bangladesh.
Pertengkaran mulut dua lelaki terbabit akhirnya membawa kepada kejadian rusuhan membabitkan sekumpulan warga Bangladesh yang merupakan buruh di tapak projek berkenaan.
Akibat kejadian itu, mangsa lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an mengalami kecederaan pada muka dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Sazalee Adam ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan penahanan reman ke atas 15 lelaki warga Bangladesh tersebut dan memberitahu siasatan lanjut akan dijalankan berhubung kejadian berlaku. – KOSMO! ONLINE