JOHOR BAHRU – Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli dan Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan kepada Kerajaan Malaysia (MAKEN), Datuk Dr. Lim Swee Tin dilantik sebagai Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, pelantikan ini merupakan komitmen UTM untuk memperkukuh kedudukan sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan terkemuka dunia dalam bidang sains dan teknologi serta memelihara warisan sejarah dan budaya negara.
“Pelantikan dua tokoh ini sebagai Karyawan Tamu UTM adalah satu penghargaan yang besar kepada UTM. Dengan latar belakang dan pengalaman mereka yang luar biasa, kami percaya kehadiran mereka akan memberikan dimensi baharu dalam penerbitan ilmiah yang berkualiti tinggi di UTM.
“Kami juga berharap pelantikan ini dapat membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama strategik bukan sahaja dalam bidang penerbitan, malah dalam bidang penyelidikan dan inovasi antara universiti, industri, komuniti dan masyarakat,” katanya kepada pemberita.
Mohd. Shafry berkata, UTM percaya dengan pelantikan Abdul Rahim dan Swee Tin sebagai Karyawan Tamu UTM pastinya akan memberi sumbangan yang besar dalam memelihara dan memperkasa budaya, seni, sastera dan sejarah negara khususnya yang melibatkan negeri Johor Darul Ta’zim. – KOSMO! ONLINE