PASIR PUTEH – Taktik sindiket penyeludupan yang menggunakan bot pancing untuk membawa masuk 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar terbongkar selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan bot terbabit di kuala Sungai Kuala Besar, Kota Bharu dekat sini kelmarin.
Tangkapan dijalankan kira-kira pukul 11.40 malam semasa anggota APMM menjalankan rondaan menerusi Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris di perairan Malaysia-Thailand.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, pihaknya mengesan sebuah bot fiber yang kebiasaannya digunakan oleh kaki pancing bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan Kelantan pada pukul 11 malam.
“Anggota APMM mengejar bot tersebut sebelum ia berjaya ditahan kira-kira 40 minit kemudian di kawasan kuala Sungai Kuala Besar.
“Tekong bot itu bagaimanapun sempat melarikan diri ke kawasan semak berhampiran kuala sungai tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, lapan daripada suspek memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan manakala enam lagi tiada langsung dokumen sah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE