PASIR MAS – Hajat dua lelaki untuk mengaut keuntungan hasil jualan 11 ekor kerbau seberat lebih 9 tan tidak kesampaian apabila lori dinaiki mereka yang membawa kesemua haiwan itu ditahan di Kampung Repek, di sini kelmarin.
Kedua-dua suspek yang berusia 26 dan 35 tahun itu dicekup kira-kira pukul 2.30 pagi semasa Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA menahan sebuah lori jenis Isuzu selepas mendapati ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu membawa kepada penemuan sebanyak 11 ekor kerbau seberat lebih 9,000 kilogram tanpa dokumen sah.
“Siasatan lanjut mendapati, kesemua kerbau itu dipercayai diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram.
“Kedua-dua suspek disyaki berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup kerbau tersebut ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua rampasan termasuk lori yang dinaiki kedua-dua suspek dianggarkan bernilai RM242,000.
Menurutnya, suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa ke kompeni taktika PGA Taman Bakti di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. – KOSMO! ONLINE