PETALING JAYA – Seorang lelaki mengundang perasan seram netizen apabila berkongsi pengalaman menakutkan yang dialami anaknya apabila menemui makhluk menyerupai dirinya ketika berhenti solat maghrib di Hentian Mambau semalam.
Menurut perkongsian yang dimuat naik di TikTok oleh Mah Bayu Engineering, anaknya, Iskandar, menceritakan insiden aneh itu bermula ketika bapanya meninggalkannya sebentar di luar tandas.
Setelah menunggu agak lama dan memeriksa tandas, Iskandar mendapati bapanya tiada di situ. Keadaan menjadi semakin pelik apabila dia akhirnya menemui bapanya di surau dan bapanya menegaskan bahawa dia tidak pernah memasuki tandas.
“Lepas tu abang tanya, ayah bila ayah keluar? Lepas itu ayah kata, keluar mana? Keluar dari tandas. Lepas tu ayah kata, mana ada ayah pergi tandas? Lepas tu abang cakap, habis tu kalau ayah tak masuk tandas, siapa yang suruh abang tunggu luar? Macam tu ayah?” jelas Iskandar.
Lebih menakutkan apabila makhluk tersebut bukan sahaja meniru wajah dan suara bapanya, tetapi juga mengenakan jam tangan serta pakaian yang sama.
Keadaan bertambah menyeramkan apabila Iskandar, yang sedang solat Bersama bapanya, ternampak sosok menyerupai bapanya di luar tangkap surau. Makhluk tersebut memandang mereka dengan senyuman yang menunjukkan gigi tajam sebelum menghilang.
“Habis solat Maghrib tu, Abang sengaja pandang luar, dia tengah pandang kita. Dia pandang dari tangkap ke sini. Dia senyum pastu Nampak gigi tajam. Selepas itu dia ikut orang lain dan hilang,” tambah Iskandar.
Namun, ketika mereka memasuki kereta, Iskandar mendakwa bahawa makhluk tersebut masih mengawasi mereka dari dalam hutan di sebelah pokok besar.
Wajah makhluk itu lebih menyeramkan daripada sebelumnya, dengan mata hitam dan gigi tajam, serta tubuh seperti bapanya.
“Mata hitam. Gigi tajam. Muka dia hitam. Badan dia sama dengan ayah. Dan dia merangkak,” ujar Iskandar.
Di ruang komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap Iskandar yang jelas masih trauma akibat pengalaman tersebut.
“Lihat mata adik ini, boleh Nampak dia masih takut. Dia cakap pun dengan ayah dia pun rasa macam was-was dengan ayah dia. Mata dia masa bercerita pun melilau pandang sana sini sebab takut benda itu muncul lagi,” kata Cahaya.
“Kasihan anak abang, Nampak masih terkejut dan pucat,” tambah Abang Nasihat.
“Lihat muka adik ini pun masih trauma. Kalau saya dah nangis cepat-cepat masuk dalam kereta,” kata MsBonda. – KOSMO! ONLINE
@pakarelektrikmalaysia RnR ada Hantu #mahbayuengineering #fyp ♬ original sound – MAH BAYU ENGINEERING (M) SB