PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Donald J. Trump di atas pelantikan rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47.
Menurut Anwar, beliau berharap dapat bekerjasama dengan Trump untuk mengukuhkan hubungan, saling melengkapi dan berpandangan ke hadapan di antara Malaysia dan AS.
Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau turut mengalu-alukan kehadiran Trump ke Malaysia, yang mengesahkan penglibatan baharu Amerika dengan rantau negara.
“Presiden Trump membawa pendekatan unik dalam menangani cabaran domestik dan global, seperti yang dibuktikan oleh peranan penting beliau dalam memudahkan gencatan senjata di Gaza walaupun sebelum pelantikannya.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam keutamaan bersama ketika pentadbiran Trump berusaha untuk melakar zaman kegemilangan baharu bagi Amerika,” katanya menerusi Facebook, hari ini. – KOSMO! ONLINE