fbpx

Ramai pelajar Orang Asli tidak hadir ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GUA MUSANG – Kehadiran pelajar Orang Asli ke sekolah menengah di daerah ini pada hari pertama sesi persekolahan dilihat kurang memberangsangkan.

Difahamkan, hanya sebilangan kecil Orang Asli yang tinggal di kawasan kampung pedalaman berjaya hadir ke sekolah.

Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah, Muhamad Yusrizal Ghani berkata, keadaan itu kerana halangan jalan balak rosak dan jambatan runtuh akibat musim tengkujuh baru-baru ini.

Katanya, pelajar Orang Asli berkenaan telah dibawa keluar dari kampung mereka oleh pihak kontraktor yang dilantik sejak kelmarin.

“Bagaimanapun, masih terdapat ramai lagi pelajar Orang Asli yang dalam proses dibawa keluar terutama yang tinggal di kampung pedalaman.

“Saya difahamkan kira-kira seramai 150 pelajar anak Orang Asli akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini dan kita mahu pastikan mereka hadir ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah Muhamad Yusrizal, pelajar Orang Asli di daerah ini ditempatkan di lapan buah sekolah menengah.

Katanya, antara sekolah menengah terlibat yang menempatkan pelajar Orang Asli ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra, SMK Tengku Indra Petra 2, SMK Sungai Asap, SMK Tengku Bendahara, SMK Sri Wangi, SMK Paloh, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2.

Sementara itu, seorang bapa dari Kampung Kuala Betis, Abu Along, 47, berkata, kebanyakan anak Orang Asli yang mengambil peperiksaan SPM akan tinggal di asrama.

Katanya, dia telah menghantar seorang anaknya ya g bakal menduduki peperiksaan SPM lebih awal ke sekolah supaya dapat memasuki kelas dengan selesa.

“Sebagai ibu bapa kita juga rasa bimbang dengan keadaan anak yang terpaksa belajar ketika penularan wabak Covid-19 ini.

“Saya berharap, anak saya dapat menjaga dirinya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI