PETALING JAYA – Sebagai sebuah negara maritim dengan garis pantai sepanjang 4,600 kilometer, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju utama dalam sektor pembinaan kapal, pembaikan kapal dan teknologi marin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bidang itu memerlukan peningkatan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi permintaan industri serta menyokong pembangunan infrastruktur maritim negara.
“Pendekatan ini juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memperkukuh peranan Malaysia dalam industri maritim serantau.
“Insya-Allah, kita akan usaha untuk merealisasikannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran berbeza, Ahmad Zahid turut berkesempatan mengadakan pertemuan bersama Pengurusan Tertinggi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membincangkan usaha memperkukuhkan pendidikan tahfiz dan memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.
“Kerajaan komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi menjamin pendidikan tahfiz yang berkualiti, berdaya maju dan selaras dengan keperluan semasa.
“Usaha ini adalah untuk melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja cemerlang dalam agama, tetapi juga bersedia menyumbang sebagai tenaga profesional masa depan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.