MANCHESTER – Penggempur Manchester United, Marcus Rashford masih berharap untuk kembali beraksi bersama Manchester United meskipun masa depannya di kelab itu menjadi tanda tanya.
Penyerang berusia 27 tahun itu belum tampil dalam sebarang perlawanan sejak digantikan dalam kemenangan Liga Europa menentang Viktoria Plzen pada 12 Disember lalu.
Selepas itu, prestasi Rashford dalam sesi latihan dikatakan menjadi isu yang dibangkitkan oleh pengendali United, Ruben Amorim.
Sepanjang tempoh tersebut, Rashford hanya pernah sekali berada di bangku simpanan iaitu ketika kekalahan 0-3 kepada Newcastle di Old Trafford pada 30 Disember, tetapi dia tidak diturunkan.
Selepas kekalahan United 1-3 kepada Brighton pada Ahad lalu, Amorim mengeluarkan kenyataan “ia terpulang kepadanya” sekali gus menimbulkan spekulasi Rashford mungkin tidak akan dipertimbangkan untuk skuad utama.
Namun, sumber dalaman kelab menafikan dakwaan itu dengan menjelaskan masa depan Rashford sebenarnya bergantung kepada dirinya sendiri dan dilaporkan Rashford bersedia kembali beraksi jika diberikan peluang.
Rashford kini dikaitkan dengan beberapa kelab ternama di Eropah dan peluang untuk beliau dipinjamkan semakin kuat, terutama dengan jendela perpindahan yang akan ditutup awal Februari ini.
Bagaimanapun, tidak jelas sejauh mana Rashford terlibat dalam latihan bersama skuad utama sejak disisihkan daripada perlawanan dan perhatian kini terarah kepada sesi latihan terbuka United pada Rabu ini, yang akan memberi gambaran sama ada Rashford masih relevan dalam perancangan Amorim. – AGENSI