MEMILIKI pelajar berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli menjadikan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Khai Mun, Bentong, Pahang sebagai lambang semangat perpaduan kaum di Malaysia.
Dalam usaha menyemarak perpaduan kaum di negara ini, sekolah berkenaan telah menganjurkan Program Silang Budaya dengan melibatkan semua 598 pelajarnya.
Melalui program itu, aspek seni dan budaya setiap kaum ditonjolkan seperti seni membuat ketupat, seni kaligrafi Cina dan seni kolum masyarakat India.
Malah, tarian yang turut diketengahkan juga menyaksikan pakaian kebudayaan pelbagai kaum yang dipakai kaum berlainan seperti pelajar Melayu memakai pakaian etnik Kadazandusun, pelajar India memakai kebaya dan pelajar Orang Asli memakai pakaian tradisi Cina.
Pengetua SMJK Khai Mun, Loo Sai Mei berkata, Program Silang Budaya yang dibuat ini merupakan program perintis yang dilihat amat signifikan di sekolah yang mempunyai pelajar pelbagai kaum.
“Objektif program ini adalah untuk memupuk semangat perpaduan pelbagai kaum dengan menyemai semangat kekitaan dan mempelajari seni budaya kaum lain di negara ini.
“Ini akan memberikan pengalaman yang bagus di mana kita sama-sama menyertai silang budaya dan saling mempelajari seni budaya kaum lain,” katanya pada program Silang Budaya SMJK Khai Mun baru-baru ini.
Guru penyelaras pertandingan anyaman ketupat, Mariayani Abdul Rahim berkata, meskipun proses anyaman ketupat dilihat lebih mencabar, namun pelajar dan guru pelbagai kaum dilihat tertarik dan bersungguh-sungguh mempelajarinya.
Kongsi Mariayani, bukan sahaja pelajar perempuan, namun pelajar lelaki pelbagai kaum juga mengambil peluang untuk menyertai pertandingan anyaman ketupat dan belajar membuat ketupat buat kali pertama dalam hidup mereka.
Guru penyelaras pertandingan kolum, R. Nirmaladevee pula memberitahu, semua pelajar pelbagai kaum dilihat bersemangat dan mampu membuat kolum pelbagai corak dengan baik secara kerjasama berpasukan.
“Kolum menunjukkan seni budaya kaum India dengan warna-warni dan pelbagai corak yang menunjukkan perpaduan dan kegembiraan yang membawa cahaya kepada kaum India,” ungkapnya.
Bagi seni budaya Cina, guru penyelarasnya, See Yuh Wei berkata, penyertaan yang diterima amat baik daripada pelajar dan guru pelbagai kaum yang dilihat begitu meminati kaligrafi Cina.
Pengerusi Lembaga Pengelola SMJK Khai Mun, Datuk Hoh Khai Mun berkata, program seperti itu dapat meningkatkan kefahaman budaya antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini dalam kalangan generasi muda sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan yang telah lama wujud.
Rata-rata pelajar yang ditemui berkata, program itu bukan sahaja menyeronokkan tetapi memberikan banyak pengetahuan mengenai kepelbagaian kaum.
Seorang pelajar, Leong Zhi Xua, 17, meluahkan, dia begitu teruja untuk hadir ke sekolah hari itu bagi menyertai program silang budaya yang diadakan julung kali di sekolah berkenaan.
Katanya, dia cuba menyertai kesemua aktiviti seperti membuat kaligrafi Cina, membantu rakan-rakan membuat kolum dan juga anyaman ketupat.
“Saya seronok datang ke sekolah hari ini apatah lagi dengan memakai baju kebaya Melayu yang sangat cantik. Dalam kesemua aktiviti bagi saya anyaman ketupat paling susah dan saya akan belajar lagi,” ujarnya.
Bagi pelajar Orang Asli, Maisyara Arissya Mustar, 17, berkata, dia amat teruja kerana buat kali pertama dalam hidupnya memakai baju kebudayaan Cina iaitu hanfu.
“Program ini sememangnya amat bermanfaat kerana membolehkan saya melakukan sendiri aktiviti kebudayaan masyarakat pelbagai kaum yang begitu unik,” katanya yang berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Gabong.
Pelajar, Nuramisha Yusnida Azian, 16, amat gembira berpeluang memakai baju etnik Kadazan Dusun dalam program kali ini.
Katanya, program itu sememangnya dapat mengeratkan silaturahim antara semua pelajar dan guru.
C. Kavilashini, 17, yang memakai kebaya pada hari itu berharap dapat memakai lebih banyak pakaian kebudayaan lain dalam program seperti ini pada masa hadapan.
Kata Kavilashini, kemeriahan program yang penuh warna-warni ini amat bermakna dan menjadi satu sejarah yang tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.