fbpx

Putus cinta, Naim Daniel tulis lagu Lelaki Gila

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAIM berharap label yang baru disertai, XO House akan memberi lebih banyak idea segar dalam pengkaryaannya pada tahun ini. – AFIQ RAZALI

DIA sedang melalui proses penyembuhan atau ‘healing’ selepas berada dalam fasa terendah dalam hidup.

Itu yang diakui penyanyi Naim Daniel apabila dilayangkan pertanyaan tentang perkembangan hidupnya ketika ini. 

Siapa tahun, pelakon berusia 28 tahun itu baru sahaja melalui fasa putus cinta yang disifatkan memeritkan malah mengakui hampir hilang kewarasan diri dalam menempuh perkara tersebut.

Bagi memulihkan kembali semangat yang kian pudar, pemilik nama penuh Muhammad Naim Daniel Baharin itu membuang semua rasa perit putus cinta itu dalam sebuah album mini atau EP terbaharunya.

Bakal dilancarkan, album berjudul Lelaki Gila itu mengandungi lima buah lagu iaitu empat karya baru ciptaannya sendiri dan sebuah lagu ‘cover’.

“Salah satu lagu yang saya hasilkan Lelaki Gila. Tema album lebih kepada patah hati dan ‘healing’.

“Kalau orang tanya kenapa memilih tema itu, alasannya adalah saya memang sedang patah hati tetapi hidup tetap harus diteruskan.

“Jadi, dengan perasaan sedih yang masih berbekas, saya pegang rasa dan emosi itu dan luahkan semuanya dalam lagu. Insya-Allah menjadi, harap ramai dapat rasa sakit itu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Pelantun lagu Sumpah itu mengakui album tersebut merupakan caranya ‘move on’ daripada semua rasa sedih dilaluinya.

“Saya sebenarnya jadikan album ini sebagai tempat untuk lepaskan semua rasa itu. Jadi ini salah satu cara saya nak sembuhkan luka.

“Semua lagu ini memang berkait. Kalau orang nak sedih, marilah rasakannya bersama.

“Saya sudah lama tak hasilkan genre balada yang pernah dilakukan sebelum ini. Cuma kali ini lebih kepada kepelbagaian dalam irama balada,” ujarnya.

Mula diasak dengan cerita putus cintanya, Naim mengakui perkara tersebut antara sebab utama dia merasakan tahun 2024 adalah fasa terendah dalam hidupnya.

“Saya rasa 2024 adalah titik terendah seorang Naim Daniel terutama pada hujung tahun. Semuanya tentang kehidupan dan percintaan.

“Tempoh percintaan lalu itu boleh dikatakan selama empat Perdana Menteri bertukar. Lima tahun punya perhubungan sejak negara dilanda wabak Covid-19.

Meski luka belum sembuh sepenuhnya, dia tidak menolak untuk mengenali dan menerima seseorang yang baharu pada tahun ini.

“Siapa saja yang datang selepas ini Insya-Allah kalau hati terbuka, saya okey saja.  

“Sekarang sudah solo tetapi tidak mencari kerana mahu fokus dengan apa yang saya buat ketika ini terutama muzik.

“Kalau cakap tentang sedia untuk kahwin atau tidak, kita sendiri pun tak tahu bila seru nak kahwin itu akan tiba tetapi kalau sudah sampai, pastinya saya akan jadi orang paling bahagia,” kongsinya.

XO House

Selepas beberapa tahun tidak bernaung bawah mana-mana label, Naim kini merupakan penghuni rumah baharunya, XO House.

Katanya, hasrat untuk bekerja bersama XO House sudah lama disimpan dan akhirnya menjadi realiti pada November tahun lalu.

“Saya mula sertai XO House pada November lalu dan niat itu sudah lama saya simpan.

“Untuk tahun 2025, saya akan ‘all out’ berkarya dengan suasana baharu bersama XO House,” ujarnya .

Turut sama bernaung bawah XO House adalah Iman Troye, Zubir Khan, Dahlia Farhana dan Alya Mardiens.

Tambah Naim, bekerja bersama barisan penyanyi muda atau ‘Gen Z’ membantu dan memberi pengalaman baharu dan idea segar dalam menghasilkan sesebuah karya.

“Seronok bekerja dengan mereka walaupun saya boleh dikatakan paling tua dalam kalangan mereka.

“Harapnya, tahun 2025 bawa lebih banyak rezeki dan kegembiraan dalam kamus kerjaya seni saya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI