TERENGGANU FC (TFC) tiada pilihan selain menyempurnakan misi wajib menang terhadap PSM Makassar FC pada aksi keempat Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, skuad kendaliannya perlu mengutip tiga mata bagi menghidupkan semula harapan mara ke separuh akhir.
“Wajib menang kalau tidak, sudah boleh lupakan impian melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan ini.
“Penting untuk menjaringkan gol awal bagi membunuh rentak permainan pasukan lawan sekali gus memenangi perlawanan,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Badrul Afzan berkata, skuad Sang Penyu akan kembali diperkuatkan dengan kapten, Safawi Rasid dan pemain pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad.
Beliau berkata, mereka juga harus melupakan kekecewaan kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Sabtu lalu untuk bangkit dalam aksi malam ini.
“Kami telah berlatih untuk membaiki kesilapan dilakukan pada separuh akhir Piala Malaysia terutama melibatkan situasi bola mati.
“Kelemahan tersebut perlu diatasi dan tidak diulangi dalam aksi malam esok kerana PSM Makassar juga memiliki kelebihan sama dalam situasi bola mati,” katanya.
Bintang import TFC, Manuel Ott berkata, dia dan rakan sepasukan mahu melupakan kekalahan dengan JDT pada separuh akhir pertama Piala Malaysia.
Pemain tengah Filipina itu mahu membuka ‘buku baharu’ dan menembus kehampaan dengan menewaskan PSM Makassar bagi menceriakan semula peminat tegar TFC.
Skuad Sang Penyu kini berada di tangga keempat kumpulan A dengan empat mata sementara PSM Makassar dari Indonesia gah menerajui carta menerusi tujuh mata.