ALOR SETAR – “Selepas tahu rumah itu terbakar, saya cuba hubungi anak beberapa kali tetapi tidak dapat. Jadi saya syak salah satu mayat rentung itu anak saya, jika betul dia saya reda”
Demikian kata seorang lelaki, Mohd Zaini Hashim, 63, yang mengesyaki salah seorang mangsa kebakaran rumah di Tongkang Yard, di sini adalah anaknya, Muhammad Muslim, 22.
Menurut Mohd. Zaini, dia mengetahui tentang kebakaran itu kira-kira pukul 7 pagi tadi dan terus bergegas ke lokasi.
“Saya nampak rumah sudah rentung dan ada dua mayat di dalam rumah. Anak saya memang tinggal di rumah ini bersama bapa angkatnya sejak tiga tahun lalu.
“Di rumah itu, ada sebuah motosikal milik anak. Selain itu ada rantai tangan dan cincin pada mangsa, namun saya tidak dapat cam kerana penglihatan saya kabur,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti sebenar kedua-dua mangsa.
Menurutnya, kali terakhir dia menemui anaknya itu adalah pada petang kelmarin berdekatan kawasan rumahnya di Jalan Kuala Kedah, dekat sini.
“Anak bantu ibu saudaranya mencuci kawasan rumah kerana sepupu anak mahu mengadakan majlis pertunangan pada hujung bulan ini.
“Waktu itu, saya ada berbual dengan anak tetapi dia langsung tidak pandang wajah saya. Saya rasa agak pelik kerana dia biasanya akan pandang wajah saya ketika berbual dan bersalaman,” ujarnya.
Katanya, dia pada waktu itu hanya berpesan kepada anaknya supaya menyelesaikan kerja dengan baik.
Sementara itu, Mohd. Akram Ibrahim, 33, anak kepada pemilik rumah, Ibrahim Mydin, 61, berkata, dia hanya mengetahui bapanya tinggal di rumah tersebut dengan seorang anak angkat lelaki.
“Kali terakhir saya jumpa ayah malam tadi, kami hanya berbual biasa dan saya tidak nampak sebarang perubahan padanya,” katanya.
Katanya, dia tidak mengenali individu lain yang tinggal di rumah itu dan berkemungkinan mereka kenalan kepada anak angkat bapanya.
“Ayah ada asma dan sakit jantung, mungkin juga dia tidak dapat selamatkan diri kerana terlalu banyak asap,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE