WASHINGTON – Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif mengaktifkan pengunduran Amerika Syarikat (AS) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), demikian menurut saluran berita CBS News.
Ia merupakan antara berpuluh-puluh perintah eksekutif yang ditandatangani selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden AS untuk penggal kedua semalam.
Dekri Presiden itu menyentuh pelbagai isu daripada imigresen kepada dasar luar hinggalah perubahan iklim.
Ia adalah kali kedua dalam tempoh kurang lima tahun yang menyaksikan Trump mengarahkan Amerika keluar daripada pertubuhan tersebut walaupun ramai saintis bimbang langkah beliau akan menyebabkan kejayaan WHO dalam memerangi penyakit berjangkit seperti AIDS, demam malaria dan batuk kering terbantut.
Pakar-pakar turut memberi amaran bahawa langkah itu boleh melemahkan pertahanan dunia terhadap wabak penyakit baharu yang berpotensi mencetuskan pandemik global.
Pada 2020, Trump mengkritik hebat WHO kerana tindak balas pertubuhan itu dalam menangani pandemik Covid-19 yang menular menjadi krisis kesihatan sedunia semasa tahun terakhir penggal pertamanya.
Kenyataan White House memaklumkan, AS akan berundur berikutan kesilapan WHO menangani pandemik Covid-19 yang merebak keluar dari Wuhan, China dan krisis kesihatan global lain di samping kegagalan pertubuhan itu melakukan pembaharuan yang amat diperlukan serta ketidakupayaannya menepis pengaruh politik tidak wajar dari negara anggota WHO lain .
Kenyataan sama menuduh WHO menuntut bayaran mahal daripada AS, jauh lebih besar daripada peruntukan yang disumbangkan oleh negara-negara lain. – AGENSI