KLANG – Tiada lagi tol percuma sempena musim perayaan kepada pengguna lebuh raya di negara ini bermula tahun ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini berikutan kerajaan telah memutuskan tahun lalu adalah tahun terakhir bagi pemberian tol percuma.
Katanya, keputusan berkenaan yang diputuskan pada mesyuarat kabinet tahun lalu bagaimanapun akan diganti dengan pendekatan yang lebih bersasar.
“(Tol percuma untuk Tahun Baharu Cina) Kalau ikut keputusan itu (kabinet) tiada. Kalau ada mungkin ada pertimbangan lain, kita akan umumkan.
“Kerajaan juga telah menyelaraskan subsidi untuk pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia yang perinciannya kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini, hari ini.
Sambutan Tahun Baru Cina bermula 29 Januari ini merupakan musim perayaan pertama pada tahun ini.
Dalam pada itu, Alexander berkata, dianggarkan sebanyak 150,000 pengguna dalam masa sehari akan menggunakan WCE bagi perjalanan dari Pantai Barat Selangor ke Perak dan seterusnya bahagian Utara. – KOSMO! ONLINE