fbpx

Warga emas, anak angkat dipercayai mangsa rentung kebakaran rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa kebakaran dibawa keluar dari sebuah rumah di Tongkang Yard, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Dua lelaki yang ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard, di sini hari ini dipercayai warga emas berusia 61 tahun dan anak angkatnya berusia 23 tahun.

Mangsa dipercayai pemilik rumah, Ibrahim Mydin dan anak angkatnya, Mohd. Muslim Mohd. Zaini yang tinggal di rumah tersebut.

Identiti sebenar mangsa bagaimanapun belum dapat disahkan sehingga ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan berikutan keadaan mayat yang rentung.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 6.51 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B iaitu separuh batu dan kayu.

“Operasi pemadaman dilakukan dan api berjaya dibendung pada pukul 7.11 pagi tadi. Kita kemudian menemui dua mangsa rentung di atas lantai tingkat bawah rumah pada jarak kira-kira 0.6 meter antara satu sama lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat awal diterima, kedua-dua mangsa dikatakan tidur di dalam bilik masing-masing di tingkat atas rumah.

“Ada kemungkinan mayat mangsa terjatuh ke lantai bawah disebabkan lantai kayu tingkat atas terbakar. Walau bagaimanapun kita masih menyiasat perkara itu iaitu sama ada ketika kejadian mangsa berada di tingkat atas atau di lokasi ditemui,” ujarnya

Menurutnya, identiti kedua-dua mangsa belum dapat dipastikan berikutan keadaan mayat yang rentung dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Sementara itu, katanya, rumah berkenaan terbakar kira-kira 70 peratus iaitu di kawasan ruang tamu dan tingkat atas.

“Ketika anggota tiba untuk membuat pemadaman, pintu didapati berkunci. Siasatan lanjut dilakukan bagi mengetahui punca kebakaran serta lokasi kebakaran bermula,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan turut dilakukan pihak polis bagi mengenal pasti sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI