KUALA LUMPUR – Berdamai dengan takdir, pempengaruh sensasi Cik Epal berharap golongan wanita yang senasib dengannya berlapang dada apabila berdepan isu rumah tangga.
Cik Epal atau nama sebenarnya Murni Mahmud berkata, setiap dugaan datang dalam kehidupan menjadi pengajaran yang mempunyai hikmah besar.
“Saya anggap perceraian ini takdir untuk saya ambil benda yang positif sahaja kerana saya pasti segala yang berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya.
“Saya pun doa agar perkara ini akan berakhir dengan cepat selain enggan memanjangkan lagi hal ini. Semoga semuanya baik-baik sahaja.
“Kita berdamailah dengan takdir, bersyukur dengan apa yang terjadi sebab saya rasa semua yang terjadi dalam hidup kita ini pasti ada hikmahnya,” katanya selepas majlis pengumuman duta Jakel Raya di Jakel Mall, baru-baru ini.
Pada masa sama, ibu tunggal anak dua itu turut menzahirkan kesyukuran dengan sokongan pelbagai pihak selepas perceraiannya dengan bekas suami juga usahawan piza terkenal, Jofliam, tular dalam media sosial.
Begitupun, Cik Epal mengakui dia bersuara dalam media sosial sebelum ini disebabkan mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian.
“Saya sangat hargai setiap kata-kata positif yang diberikan kepada saya. Terus-terang saya pun terkejut dengan sokongan ramai terhadap diri ini dan jadikan semua itu sebagai penguat semangat.
“Kalau ada yang kata saya kelihatan lantang bersuara di media sosial, apa yang saya boleh katakan, saya berani kerana benar. Jika kita di pihak yang betul, kita akan jadi berani,” ujarnya.
Menyentuh mengenai pembabitannya dengan jenama gedung pakaian itu, dia terharu apabila diberi peluang bergelar duta Jakel biarpun bukan berstatus artis.
“Saya sangat berbesar hati berterima kasih kepada orang kuat Jakel, Datuk Seri Feroz yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi duta.
Selain Cik Epal, duta jenama kempen raya 2025 Jakel yang lain ialah Elly Mazlein, Fattah Amin, Amira Othman, Nabil Ahmad, Anzalna Nasir dan kumpulan Senario. – KOSMO! ONLINE