WASHINGTON – Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk penggal kedua yang bersejarah, serta berjanji akan mengeluarkan arahan segera ketika beliau melakukan kemunculan semula, lapor laman berita TRT World semalam.
Dengan sebelah tangan diangkat ke udara dan sebelah lagi diletak pada kitab Injil yang diberikan ibunya kepadanya, Presiden AS ke-47 itu dengan sungguh-sungguh mengangkat sumpah jawatan semalam di bangunan Capitol AS.
Trump daripada Parti Republikan dan bekas Presiden daripada Parti Demokrat, Joe Biden sebelum itu dibawa oleh kenderaan pengiring ke Capitol, di mana majlis itu diadakan di kawasan tertutup.
Ia dihadiri tetamu dalam jumlah yang lebih kecil, kali pertama dalam beberapa dekad berikutan cuaca sejuk.
Trump, 78, ialah individu luar politik pada pelantikan pertamanya pada 2017 sebagai Presiden ke-45, namun kali ini beliau dikelilingi oleh golongan kaya dan berkuasa Amerika.
Orang terkaya di dunia, Elon Musk, bos Meta, Mark Zuckerberg, ketua Amazon, Jeff Bezos dan Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai, kesemuanya duduk di kerusi utama Capitol bersama keluarga Trump dan barisan ahli kabinet.
“Zaman kegemilangan Amerika bermula sekarang. Mulai hari ini, negara kita akan maju dan dihormati semula di seluruh dunia.
“Kita akan dicemburui oleh setiap negara dan kita tidak akan membiarkan diri kita diambil kesempatan dalam setiap hari pentadbiran Trump.
“Saya akan dengan mudah, meletakkan Amerika di hadapan. Zaman kejatuhan Amerika telah berakhir,” katanya. – AGENSI