KLANG – Tiga lelaki asing parah akibat melecur dalam kebakaran melibatkan tiga buah kilang di Taman Aman Perdana di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran melibatkan penyimpanan gas di bangunan tiga tingkat sebelum merebak ke gudang tempat simpanan jentera berat dan kilang memproses tembaga.
Katanya, seramai 42 anggota termasuk pegawai dari tujuh buah balai bomba dan penyelamat (BBP) terlibat dalam operasi pemadaman selepas pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.55 pagi.
Balai yang terlibat adalah BBP Klang Utara BBP Klang Selatan, BBP Andalas, BBP Bukit Jelutong, BBP Kapar, BBP Damansara dan BBP Pelabuhan Klang.
“Kebakaran melibatkan tujuh lelaki asing dengan tiga daripada mereka parah akibat melecur. Empat lagi mangsa berjaya menyelamatkan diri.
“Api berjaya dikawal pada pukul 2 pagi,” katanya hari ini.
Setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE