NEW DELHI – Seorang petani maut dibaham seekor harimau ketika keluar mengutip kayu api di sebuah kawasan hutan di India, lapor portal berita Hindustan Times semalam.
Kejadian berlaku di Santuari Hidupan Liar Katarniaghat, negeri Uttar Pradesh kelmarin.
Menurut polis tempatan, mangsa yang bernama Shivdhar Chauhan, 55, diserang binatang buas itu ketika mengutip kayu api.
“Mayatnya ditemukan pada keesokan pagi selepas pencarian besar-besaran dilaksanakan dengan bantuan ahli keluarga mangsa dan penduduk tempatan.
“Mereka turut mengumpulkan cebisan badannya yang berselerakan di atas tanah.
“Separuh badan Shivdar habis dimakan dan hanya meninggalkan bahagian atas termasuk kepala,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke hospital berdekatan untuk bedah siasat. – AGENSI